Tuesday 28 June 2011

Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran Matematik

Pengenalan

Era perkembangan teknologi masa kini mempengaruhi setiap bidang kehidupan. Aspek teknologi telah digabungkan dalam kurikulum sekolah sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi. Budaya persekolahan seharusnya diubah daripada sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran, kreatif,dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini ( KPM, 1997 ). Atas alasan inilah pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan berhasrat untuk mengujudkan Sekolah Bestari yang sekali gus bertindak mengisi agenda perancangan , dan perlaksanaan Koridor Raya Multimedia ( Multimedia Super Corridor atau MSC ). Perlaksanaan Sekolah Bestari akan membuka ruang seluas-luasnya kepada teknologi komputer yang akan membolehkan fleksibiliti dan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan. Suasana ini akan mengurangkan jurang peluang antara mereka yang berada dan berupaya menggunakan teknologi terkini di rumah, dengan mereka yang kurang berada ( KPM, 1997 ).
Pengajaran Berbantukan Komputer
Perubahan yang sedang melanda dalam dunia pendidikan kini tentunya akan merubah kandungan dan reka bentuk kurikulum setiap mata pelajaran ( Jamaludin, 1989; Nik Azis, 1989). Kurikulum matematik juga tidak dapat lari daripada arus teknologi ini
( Fatimah & Munirah, 1995; PPK, 1993; Nik Azis, 1989 ). Pendidikan komputer dalam kurikulum melibatkan tiga peranan penting (Nik Azis, 1989 );
1. Pembelajaran tentang komputer perisian, perkakasan dan pengaturcaraan komputer
 2. Penggunaan komputer untuk menyelenggara dan memproses data
- memproses data penyelidikan
- memproses perkataan
3.Penggunaan komputer untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran
- pengaturan murid
- pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer ( PPBK ).
Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) ialah aturcara komputer yang menggunakan teknik-teknik kepintaran buatan untuk membantu seseorang belajar ( Jamaluddin, 1989 ). Mikrokomputer digunakan untuk menyelenggara aktiviti pengajaran dengan berpandu kepada program yang dibentuk oleh penulis perisian. Murid berinteraksi dengan program komputer atau perisian melalui terminal ( Nik Azis, 1989 ).
Dalam pengajaran berbantukan komputer ( CAI ), komputer boleh dianggap sebagai tutor atau guru. Dalam proses pengajaran sebenar dalam bilik darjah, guru berperanan sebagai pengajar (instructor), penerang (explaner) dan pemudahcara (facilitator). Semua peranan ini boleh diambil alih oleh komputer dalam CAI ( Abd. Rahman, 1995 ). Pengajaran berbantukan komputer melibatkan sistem tutorial, permainan dan simulasi di samping aktiviti latih tubi ( PPK, 1993; Jamaludin, 1989 ).
  Komputer Dalam Pendidikan Matematik
Penggunaan komputer dalam pengajaran matematik dapat memperkembang dan memperkayakan lagi tajuk yang diajar. Lebih seabad yang lalu, NCTM (National Council of Teachers' of Mathematics, 1980) mencadangkan supaya pengajaran matematik mengambil peluang luas yang ditawarkan oleh komputer. Cockcroft (1982) menyarankan bahawa penggunaan komputer dalam pengajaran matematik bukan sahaja boleh memperbaiki kualiti pengajaran matematik malah penggunaan komputer juga boleh merubah kepentingan sesuatu tajuk dalam silibus matematik. Keadaan yang sama juga mungkin wujud dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran lain di sekolah. Aktiviti penyelesaian masalah adalah bahagian terpenting dalam pendidikan matematik. Pencapaian yang tinggi dalam matematik tidak bermakna jika seseorang pelajar tidak mampu melakukan proses penyelesaian masalah. Laporan Cockcroft (1982) menegaskan bahawa masalah matematik harus diterjemahkan kepada sebutan dan bahasa matematik sebelum ianya diselesaikan. Langkah terjemahan seperti ini memerlukan fahaman yang lengkap terhadap struktur konsep yang terkandung dalam masalah tersebut. Keadaan ini telah menyebabkan kesukaran pembelajaran di kalangan setengah-setengah pelajar. Masalah dan kesukaran ini boleh diatasi melalui penggunaan komputer ( Al Ghamdi, 1987; Lim, 1989 ).
Dalam beberapa kajian yang telah dijalankan (Funkhouser, 1993; Henderson and Landersman, 1992, Chazan, 1988; McCoy, 1991; Al Ghamdi, 1987) didapati :
  • pelajar yang menggunakan komputer dalam matematik mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya sebagai ahli matematik dan berkeupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.
  • Perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran akan dapat membantu pelajar memahami konsep dan prinsip matematik dengan mudah dan berkesan
  • Pencapaian pelajar dalam peperiksaan akhir menunjukkan peningkatan yang ketara
  • Kumpulan yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat dalam jangka masa yang lebih lama dan dapat menggunakannya dalam bidang-bidang lain.
Kelembapan dan kebantutan perkembangan CAI dalam pendidikan matematik khususnya, pada pertengahan tahun 70 an hingga 80 an adalah disebabkan oleh kos perkakasan komputer yang terlalu tinggi, bilangan perisian yang sedikit, kemahiran dan pengetahuan tentang komputer yang rendah dan tidak kurang juga kebimbangan dan kurang keyakinan di kalangan pendidik ( PPK, 1993 ). Walau bagaimanapun keadaan tersebut telah berubah, di mana harga komputer telah banyak menurun dan mampu dibeli oleh ramai orang serta berbagai kursus telah dan sedang dianjurkan oleh pihak kementerian untuk memberi kesedaran, keyakinan, pengetahuan serta kemahiran dalam penggunaan komputer.
Dalam pendidikan matematik, komputer boleh berperanan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti berikut
i. Penghasilan Bahan Kurikulum
ii. Latih Tubi
iii. Tutorial
iv. Ulangkaji
v. Pemulihan dan Pengayaan
vi. Simulasi
vii. Pengiraan
viii. Alat Bantu Mengajar
ix. Tutee
 Penggunaan spreadsheet
Terdapat banyak kajian tentang penggunaan spreadsheet dalam pengajaran matematik. Kajian-kajian yang telah dijalankan mencadangkan berbagai cara penggunaan spreadsheet dalam pengajaran matematik ( Janet, 1988; Lim, 1995; Fatimah & Munirah, 1995). Ada juga kajian yang mencadangkan penggunaan spreadsheet dapat mengurangkan kesilapan konsep tentang sesetengah konsep matematik ( Catterall and Lewis, 1985 dalam Fatimah & Munirah, 1995 ). Mungkin guru-guru di Malaysia juga boleh menggunakan speadsheet dalam pengajaran matematik sementara menunggu pakej CAI yang sesuai.
Penggunaan multimedia
Multimedia adalah teknologi maklumat terkini yang membenarkan integrasi dan manipulasi video, audio, teks, grafik dan animasi ( Baharuddin & Mohd, 1995 ). Multimedia berasaskan komputer boleh menjadikan proses pendidikan suatu pengalaman yang menyeronokkan dan menarik di samping membantu pelajar memahami sesuatu konsep dengan cepat dan mudah ( Brown & Bush, 1992; Toh & Ng, 1994; Rio & Kasiran, 1994; Baharuddin & Mohd, 1995 ). Penggunaan multimedia mempunyai peranan penting dalam pendidikan matematik. Antaranya ialah multimedia boleh;
1. memberi peluang kepada pelajar untuk belajar sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing.
2. memudah dan mempercepatkan kefahaman sesuatu konsep matematik.
3. menjadikan aktiviti pembelajaran menarik dan menyeronokkan
4. membekalkan lebih banyak maklumat dan pengetahuan kepada pelajar
5. membantu pelajar mengulangi sesuatu isi pelajaran berulang kali